14 August 2009

Perginya Seorang Lagi Pejuang Islam (Ust Asri)


Bismillahirrahmanirrahim...

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Harakah)

Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut.

Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi.

"Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Pahlawan Nasyid

Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.

Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara 'emas' itu amat sukar dicari ganti.

"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan.

Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.

Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni.

"Begitu juga anggota Raihan yang ditubuhkan sebenarnya turut mendapat respond yang baik dari allahyarham sendiri, bahkan allahyarham turut memberi saranan supaya perbanyakkan kumpulan nasyid.

"Ianya bertujuan supaya masyarakat turut mendapat hiburan alternatif yang menjurus kepada Islam sebagai mengimbangi lagu-lagu versi lain yang ada pada hari ini,"ujarnya.

Ulama' nasyid

Kali terakhir bertemu dengan allahyarham dua malam lalu untuk berbincang tentang program nasyid yang bakal diadakan bersama selepas ini.

Sementara itu, anggota Kumpulan Hijjaz, Isman Hisyam,40, menyifatkan allahyarham sebenarnya seorang ulama yang masyhur dalam nasyid.

"Walaupun kita nampak dia bernasyid, tetapi sebenarnya dia seorang ulama bahkan tempat anggota kumpulan nasyid membuat rujukan khususnya tentang Islam,"ujarnya.

Jelas Isman lagi, beliau amat terkejut dengan berita yang baru diterima apabila salah seorang anggota Kumpulan Rabbani 'Azadan' menghubunginya memberitahu Asri sudah meninggal dunia.

"Kami macam adik beradik walaupun berlainan kumpulan sebab kumpulan nasyid mana-mana pun menuju ke arah yang sama iaitu membawa manusia ke jalan yang benar serta sentiasa mengaggungkan Allah,"ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat Rabbani khususnya umat Islam mendoakan kesejahteraan allahyarham agar mendapat limpahan rahmat yang tidak perbah putus.

"Kami juga berharap semua peminat seni nasyid tanah air supaya bersabar menerima berita yang begitu menyentuh jiwa ini,"ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.

Untuk rekod, salah seorang anggota Hijjaz, iaitu Salleh telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru, ianya diikuti dengan anggota kumpulan Raihan, Zaery meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan selepas itu. http://harakahdaily.net




Buat renungan bersama, sesungguhnya setiap daripada kita telah Allah janjikan dengan kematian. Tidak akan diawalkannya dan tidak pula akan ditangguhkannya walau sesaat. Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah kembali diri kita. Sejauh manakah kita telah mengabdikan diri kita kepada Yang Maha Pencipta, sejauh manakah kita memartabatkan Islam di dalam diri kita dan masyarakat, sejauh manakah kita berjasa kepada ibubapa kita dan sejauh manakah kita menghargai sahabat-sahabat kita...???

Justeru, marilah kita sama-sama persiapkan diri kita dengan bekalan amalan yang cukup, bagi menempuh saat yang kita tidak pasti bilakah ia akan tiba...

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

(ali-Imran, 3:185)

"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan."

(al-A'raf, 7:34)

P/s: Sedekahkanlah sekuntum al-Fatihah dan bait-bait doa buat Allahyarham Ustaz Asri dan sahabat-sahabat lain serta seluruh kaum muslimin dan muslimat yang telah pergi buat selama-lamany dari dunia yang fana' ini..

(Teringat pulak yang orang kata muka ayah saya mirip rupa ust.Asri...)


~MEMBURU CINTA HAQIQI~

4 comments:

  1. salam..
    sedihnye saye kak..last time i saw him directly kat konsert Gamis..
    never expect arwah pgi mcm tu je..
    mmg nak dekat sgt dah kiamat ni kan..
    Allah tarik org2 beriman secepat tu..

    ReplyDelete
  2. Erm..
    yg dah pergi, biarkan ia pergi..
    kita yg masih hidup perlu teruskan kehidupan n ambl pengajaran daripada kematian sahabat kita yg len..
    Moga kita bakal beroleh Husnul Khatimah..

    ~MEMBURU CINTA HAQIQI~

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah.
    Semoga Allah mebcucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga beliau ditempatkan bersama para solihin

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam..
    amien..

    ~MEMBURU CINTA HAQIQI~

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...