Assalamualaikum wbt..
Bismillah walhamdulillah..
Syukur yang tak terhingga kupanjatkan kepada-Mu ya Allah. Akhirnya, berjaya juga aku melawan nafsu malasku, menguatkan diri untuk mencoret tentang emak tercinta..
Alhamdulillah, kini aku sudah pun 3 minggu berada di rumah setelah tamat semester pendek.. Keberadaanku di rumah bersama emak dan ahli keluarga lain lebih menguatkan aku untuk tulis tentang emak..
Sekali-sekala, teralun di mindaku melodi indah, nasyid berjudul 'Buatmu Ibu' dendangan kumpulan cilik Ae-man.
Ibu...bergenang air mataku
Terbayang wajahmu yang redup sayu
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan
Bagaikan laut yang tak bertepian
Di saat ini, terbayang wajah emak yang tulus sekali. Tergambar segunung kasih-sayang di sebalik sekuntum senyuman di wajahnya. Segunung? Erm..mungkin perkataan ini masih belum cukup untuk menggambarkan betapa luasnya kasih-sayang yang telah emak curahkan buat aku, tak tergambar dengan kata-kata.
Antara yang aku boleh bagi contoh dan aku amat-amat hargai adalah setiap kali aku ingin pulang ke kampus, setelah pulang bercuti di rumah.. Biasanya tiket aku pukul 11pagi.. Pasti emak akan menyediakan makanan tengahari lebih awal daripada biasa supaya aku dapat bawa bekal ke kampus.. Dan emak juga pasti akan lipat baju-baju kami sekeluarga yang masih belum berlipat setelah diangkat dari ampaian pada hari sebelumnya.. Tujuannya (walaupun emak tak cakap), tapi aku tahu sebab mak nak mudahkan aku cari baju-baju aku untuk dibawa pulang ke kampus.. Terharunya, sayang mak!
Tidak pun kau merasa jemu
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu
Dari kecil hingga dewasa
Jasa emak terhadap aku dan adik-beradik lain amat besar. Emak lah yang mendidik kami adik-beradik sejak kecil.. Kami tidak dimasukkan ke mana-mana tadika mahupun PASTI, sebaliknya emak lah yang sabar mengajar kami mengenal 'ABC' dan 'ا ب ت ', emaklah yang mengajar kami mengaji, emaklah yang mengajar kami menunaikan rukun Islam yang ke-2 dan emak juga lah yang mendidik kami dengan nilai-nilai akhlaq Islamiyah sejak kecil lagi, bergandingan dengan ayah.
Aku masih ingat lagi sewaktu berumur dalam lingkungan 5-6 tahun. Aku ingin bermain di beranda rumah tanpa memakai tudung. Emak yang melihat kelibat aku lantas mencapai mancis api yang diletakkan di bendul atas pintu lalu menyalakannya dan mengacah untuk membakar rambutku. Emak memang sengaja meletakkan sekotak mancis di bendul atas pintu untuk tujuan mengajar kami seandainya keluar rumah tanpa bertudung. Sejak dari itu, aku sudah tidak berani keluar rumah tanpa bertudung. Takut... bukan sahaja taku mak bakar rambut, malah takut dibakar oleh api neraka nanti...
Seronok jugak bila dah pandai mengaji sejak dari rumah lagi.. Masa aku masuk darjah 1, kami start belajar daripada Iqra' 1 balik, sedangkan aku dah start baca Quran dah kat rumah.. So, lancar jelah aku baca Iqra' dalam kelas..cepat je habis sampai Iqra' 6..huhu.. Apa lagi, ustazah pun tanyalah belajar kat mana. Aku dengan bangganya jawab mak ajar kat rumah.. Thanks, mum!
Hidupmu kau korbankan
Biarpun dirimu yang telah terkorban
Tak dapat ku balasi akan semua ini
Semoga Tuhan membekati kehidupanmu ibu
Lagu nasyid 'Buatmu Ibu' terus beralun di mindaku.. Lantas aku teringat akan pengorbanan-pengorbanan emak terhadapku. Satu per satu menerjah di ingatanku.
Pertama sekali, aku masih ingat lagi, emak pernah ceritakan tentang saat-saat beliau sakit ingin melahirkan aku di daerah Pekan, Pahang. Ketika itu, ayah tiada di rumah. Emak dah sakit nak bersalin, dah turun tanda dah (emak cakap macam ni, tak paham pun).. Lantas, emak menggagahkan diri memandu kereta dalam keadaan sakit ke rumah pak din dan mak mi (pengasuh kakak-kakak dan abang) sambil menahan sakit. Emak meminta tolong pak din untuk hantarkan emak ke hospital. Kalau pak din tak dapat, mak akan pergi dulu, then minta tolong pak din bawa balik kereta. Alhamdulillah, pak din dapat hantar mak ke hospital. Di hospital, mak selamat melahirkan aku tanpa kehadiran ayah di sisi (ayah ada exam masa tu, kalau tak silap).
Kemudian, mak ceritakan bahawa ada seorang lelaki berjubah putih azankan aku, tapi mak tak tau siapa. Moga-moga lelaki itu merupakan hamba soleh utusan Allah SWT. Aku masih ingat kata-kata mak ketika bercerita kepadaku. "Emak ni berkorban betul-betul lah untuk anak-anak.. Tapi antiorang?" Berkaca-kaca mataku mendengar luahan hati seorang insan mulia bergelar IBU ini..
Keluarga pak din dan mak mi memang rapat dengan mak dan ayah. Mak mi lah yang jaga kakak sulong, abang dan kakak atasku di kala mak dan ayah keluar berkerja. Namun, setelah aku lahir, mak mi menyatakan bahawa dia sudah tidak mampu untuk menjaga kami berempat (pertambahan aku). Jadi, setelah berbincang dengan ayah, emak terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai pensyarah di IKM. Ya Allah, besar sungguh pengorbanan emak terhadap aku.
Sebagaimana yang dicoretkan dalam post 'Coretan Anak Ayah', di awal perkahwinan mereka dulu, mereka hidup susah, terutamanya dari segi kewangan. Disebabkan kekurangan duit, emak sampaikan pernah mengumpul duit-duit yang terselit di celah bawah tikar. Emak tegaskan kat aku yang mak tak pernah sekali pun pertikaikan dan merungut soal duit dengan ayah. Emak sentiasa redha. Sebahagian daripada gaji mak akan diberikan kepada moyang yang membesarkan mak dan juga tok belah ayah. Ada juga yang digunakan untuk bantu bayar sebahagian kos pembelajaran ayah yang sedang mengambil Diploma Pendidikan di UIA ketika itu. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan lain dan untuk simpanan.
Andainya pernah menghiris hatimu
Restumu yang amat aku harapkan
Kerana di situ letak syurgaku
Jika difikirkan, banyak sekali perbuatan, kata-kata ku yang telah mengguris, menghiris dan melukakan hati mak.. Maafkan kita mak..!
Ada pernah sekali tu, masa kecik-kecik dulu, sekitar umur aku 4, 5 tahun... Emak terasa hati dengan kitaorang, tak ingat dah sebab apa.. Emak merajuk, terus masuk dalam bilik. Mak kunci pintu.. Punyalah nakal kitaorang, kitaorang pun masuk melalui bilik air yang bersambung dengan bilik mak. Kitaorang intai tengok mak tengah merajuk.. Lucu jugak bila fikir balik..huhu.. Maafkan kami mak..!
Erm..teringat pulak masa kecik-kecik dulu, sebelum masuk darjah satu.. Setiap kali aku buat salah kat mak , aku tak berani mintak maaf terus, malu pun ada.. Biasanya, aku akan tunggu malam.. Bila mak dah tidur, aku akan kejut mak dan mintak maaf.. Masa tu mak tengah mamai, mudah sikit nak mintak maaf..huhu.. Bijak2..
Mengajarku erti kesabaran
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan
Menyuluh jalan kehidupan
Mak memang seorang yang sangat tabah didik kitaorang 11 adik-beradik. Bayangkan, 11orang, bukan jumlah yang sikit. Kita, bila sorang adik buat salah pun dah rasa geram sangat, bayangkan pulak seorang ibu yang kena sabar dengan macam-macam kerenah 11orang anak-anak. Diuji pulak oleh Allah dengan keguguran kandungan sebanyak 3 kali.. Anak pertama lahir guna forcep, anak terakhir melalui pembedahan caesarean. Semoga aku dapat jadi setabah emak..
Ketabahan mak menjalani jerih-perih kehidupan memang telah terserlah sejak kecil lagi. Emak telah kehilangan ibu tercinta sejak emak masih sangat kecil lagi, ketika berusia 58 hari. Kemudian, emak dibesarkan oleh atuk dan neneknya (moyang aku). Emak banyak berdikari. Kesedaran mak tentang agama amat tinggi sejak kecil lagi, walaupun kurang ditekan oleh nyang (panggilan untuk moyang). Masa sekolah rendah kalau tak silap aku, mak sendiri yang mintak nyang jahitkan/belikan telekong untuk mak. Masa sekolah menengah, mak dah pandai jahit baju sendiri. Emak ke sekolah berkayuh naik basikal.
Selain itu, mak telah memilih untuk pakai tudung bulat atas kesedaran sendiri, tapi aku tak pasti bila mak start pakai tudung bulat. Dan yang menariknya, penampilan mak yang menutup aurat ni lah yang memikat hati ayah untuk merisik mak. Sebab (berdasarkan cerita mak), ayah kata, kalau ada student UITM yang pakai tutup aurat macam mak di kalangan majoriti warga UITM yang berpakaian kurang menutup aurat, maknanya memang itu inisiatif dan kesedaran student tu sendirilah, bukan atas sebab peraturan dan paksaan (sebagaimana yang berlaku di universiti-universiti Islam, pakai tudung sebab ianya termasuk dalam dress code). Betul jugak kan? Pandai ayah pilih pendamping hidup..!=)
Dalam soal perjuangan pulak, emak aktif dengan kerja-kerja Islam sejak di kampus lagi. Emak merupakan lulusan UITM dengan ijazah perakaunan. Emak aktif berdakwah sampai sekarang. Setelah tamat belajar, emak jadi pensyarah di IKM. Di sepanjang penglibatan mak dengan kerja-kerja Islam, pelbagai rintangan dan ujian telah dihadapi oleh mak. Emak pernah ke Iran ketika Revolusi Iran (pemindahan pemerintahan kuffar kepada pemerintahan Islam) dengan tawaran tiket free oleh kerajaan Iran ketika itu untuk sama-sama menyambut kemenangan Islam di sana. Emak pernah beberapa kali disoal siasat polis. Namun, semua tu tak pernah menggetarkan mak untuk terus besama-sama dengan perjuangan Islam. Berani kerana benar. Aku betul-betul kagum dengan mak. Banyak pengalaman yang mak kongsi dengan aku dan menjadi sumber inspirasiku..
Macam ayah, mak jugak seorang yang jaga ibadah. Selain ibadah wajib, mak juga istiqamah dengan ibadah sunat. Solat sunat rawatib, hajat dan qiamullail sering menjadi amalan mak.
Ada satu lagi yang aku betul-betul kagum dengan mak. Masa ayah merisik mak melalui kawan, jawapan mak adalah: "Saya terima dia asalkan dia tak halang perjuangan saya." Fuh, hebat! TAHNIAH ayah, dapat isteri sehebat mak..! TAHNIAH juga buat mak, dapat suami sehebat ayah..! Moga anak-anaknya pun hebat mengikut jejak ayah dan emak..amien..
Kasih sayangmu sungguh bernilai
Itulah harta yang kau berikan
Bait-bait lagu 'Buatmu Ibu' dendangan kumpulan Ae-man masih lagi bermain di mindaku.. Erm..mak memang garang berbanding ayah, tapi mak baik sangat..! Kasih-sayang yang mak dah curahkan kat aku melimpah-ruah, tak tergambar dengan kata-kata.. Saaayang, mak!
Ibu yang telah melahirkan diriku
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana
Buat emak tersayang, kita mintak maaf atas segala salah dan silap kita. Maaf andai sering melukakan dan mengguris hati mak. Terima kasih atas segala jasa, didikan dan tarbiyah yang telah emak berikan kepada kita. Tak mampu kita balas semuanya. Semoga kebahagiaan dan ketenangan jiwa menjadi augerah Allah buat mak di dunia dan akhirat. Doakan kita moga terus istiqamah dengan perjuangan Islam. Uhibbuki ya ummi, hubban jamma..!
(al-Isra', 17:23)
"Ya Allah, aku bersyukur kepada Mu,
atas anugerah yang amat berharga buat ku,
anugerah seorang ibu yang hebat,
anugerah seorang ibu yang mulia,
anugerah seorang ibu yang berjiwa pejuang ..
Maka, Kau anugerahkanlah pula kepadanya,
anak-anak yang soleh dah solehah,
yang bakal mendampinginya di syurga kelak..
Amien ya Rabbal 'alamin.."
I love my mum very much..! (^_^)
"My Mother, My Inspiration"
~MEMBURU CINTA HAQIQI~
alhamdulillah..bila baca coretan buddy ni teringin plak nak jumpa ngan ibu buddy..=) ..betul para ibu tak pernah jemu berkorban demi ank-anaknya..semoga kita semua bakal menjadi seperti mereka kelak..hehe (^_^)
ReplyDeleteAmien..
ReplyDeleteMasuk kuantan nnt, jemputlah dtg umah ur buddy ni ye..!
luv u..!
~MEMBURU CINTA HAQIQI~
alahyee syahdu pulk rase..
ReplyDelete