28 June 2008

PRINSIP DAN MATLAMAT TARBIYYAH ISLAMIYYAH


MUQADDIMAH


Tarbiyah Islamiyah itu adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan kesuburan tubuh badan, pekerti, roh dan akal fikiran. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan akhlak yang memungkinkan manusia itu hidup di dunia ini dalam keadaan baik dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti.


Prinsip Tarbiyyah Islamiyyah

Berdasarkan kepada pengertian di atas, maka tarbiyah Islamiyah itu dilaksanakan berasaskan kepada beberapa prinsip. Antaranya ialah:


1) Bahawa tarbiyah Islamiyah itu adalah suatu perkara wajib lantaran ia merupakan kerja utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. Perkara ini diterangkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya yang bermaksud:


''Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a. w.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada meeka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari I'tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara'). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.''(Al-Jumu'ah: 2)


Justeru, Islam mewajibkan tarbiyah ke atas lelaki dan perempuan samada dia seorang merdeka atau seorang hamba sahaya.


2) Tarbiyah Islamiyyah itu berasaskan kepada keikhlasan kepada Allah s.w.t. iaitu mengajar dan mempelajari ilmu pengetahuan itu semata-mata kerana Allah s.w.t. Barangsiapa yang mempelajari ilmu dengan sebab-sebab duniawi, maka dia akan diseksa di akhirat nanti. Sebaliknya jika dia menjalani pendidikan kerana Allah s.w.t., maka keadaannya setaraf dengan para mujahid di jalan Allah.


3) Bahawa tarbiyah Islamiyah itu tidak terikat dengan masa dan umur. Ia dilakukan secara berkekalan bermula daripada kandungan yang belum dilahirkan sampailah ke alam dewasa dan berpindah ke alam baqa'. Tidak ada seorang pun yang diberikan kesempatan mempelajari ilmu pengetahuan boleh merasakan bahawa dia adalah seorang yang paling alim dan bijak.
Al-Quran menegaskan bahawa setiap seorang yang alim itu sudah pasti ada orang lain yang lebih alim daripadanya. Selain itu, Allah s.w.t. juga memperingatkan kita bahawa ilmu yang diberikan kepada hamba-hambaNya adalah terlalu sedikit. Oleh itu, Islam menganjurkan agar pentarbiyahan dilakukan secara berkekalan.

Firman Allah s.w.t.:Maksudnya:


''(Nabi Ya'kub) menjawab: ''Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.'' (Yusuf: 86)

Firman Allah s.w.t. lagi, maksudnya:


''Dan berdoalah dengan berkata: ''Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.'' (Taha: 114)

Bahawa tarbiyah Islamiyah berjalan di atas prinsip at-takamul (lengkap melengkapi) antara ilmu dan iman. Iman mengajak manusia mencari ilmu, manakala ilmu pula mengajak manusia beriman. Perkara ini sangat jelas jika kita melihat kepada beberapa ayat al-Quran. Antaranya firman Allah s.w.t.: Maksudnya:


''Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: ''Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan ( yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya).'' (Al-Rum: 56)


Dalam surah Fatir pula Allah s.w.t. berfirman: Maksudnya:


''Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun (Fatir: 28)

Bahawa tarbiyah Islamiyah itu mengajak supaya bersikap tidak terus menerima apa sahaja yang dipusakai daripada generasi yang lalu melainkan sudah dibuat kajian yang teliti dan dipastikan bahawa ia benar. Firman Allah s.w.t.: Maksudnya:


''Dan apabila dikatakan kepada mereka: ''Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah.'' Lalu mereka menjawab:''(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya.''Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?'' (Al-Baqarah: 170)

Firman Allah lagi dalam Surah al-A'raf:Maksudnya:


''Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: ''Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya. ''Katakanlah (wahai Muhammad): ''Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?'' (Al-A'raf: 28)

Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang berkaitan dengan perkara ini..


Berdasarkan kepada prinsip-prinsip di atas dapat disimpulkan bahawa perjalanan tarbiyah mengambil kira perkara-perkara berikut:

1.Keberkesanan dalam mengatur hubungan manusia dengan diri sendiri

2.Keberkesanan dalam mengatur hubungan insan dengan Allah s.w.t.

3.Keberkesanan dalam mengatur hubungan insan dengan masyarakat disemua peringkat

Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah


Matlamat tarbiyah Islamiyah itu perlu dibahagikan kepada dua matlamat iaitu matlamat yang umum dan matlamat yang khusus.


Matlamat tarbiyah Islamiyah yang umum ialah untuk menyelamatkan insan daripada azab Allah s.w.t. sebagaimana yang difirmankanNya: Maksudnya:


''Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.'' (Al-Tahrim: 6)

Insan yang diselamatkan daripada azab Allah s.w.t. itu ialah insan yang dapat menyempurnakan segala tanggungjawabnya ke arah mencapai tujuan dan matlamat ianya dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang digariskan oleh Allah s.w.t. seperti di bawah:

1)Beribadah kepada Allah s.w.t. yang Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah s.w.t. sepertimana firmanNya:Maksudnya:


''Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.'' ( Al-Zariat: 56)

Ibadah kepada Allah s.w.t. mengikut syariat yang diturunkan olehnya melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w. menuntut supaya orang-orang muslim itu memiliki beberapa sifat yang penting. Antaranya ialah iman, Islam, ihsan, keadilan, amar ma’ruf nahi mungkar, jihad di jalan Allah,manis tutur-kata, pekerti yang mulia dan beberapa peradaban serta amalan lain.

2)Menjadi khalifah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadikannya khalifah di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t.:Maksudnya:


''Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'' (Al-Baqarah: 30)

Ekoran daripada itu, maka penciptaan manusia oleh Allah bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan segala perancangan dan pembangunan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

3)Berkenal-kenalan dan berbaik-baik di kalangan manusia.Dalam Surah Al-Hujurat, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya ( akan keadaan dan amalan kamu).'' (Al-Hujurat: 13)

Oleh sebab itu, manusia hendaklah berkasih-syang sesama mereka, bantu-membantu antara satu sama lain dan seterusnya ingat-mengingati serta pesan-memesan sesama mereka dalam perkara kebaikan.

4)Memimpin dan memerintah dunia ini. Firman Allah s.w.t., maksudnya;


''Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.'' (Al-Nur: 55)

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Allah s.w.t. menjanjikan golongan beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia akan dikurniakan kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini. Pada waktu itu manusia dapat menjalankan urusan harian dan berbakti kepada Allah s.w.t. dalam suasana yang aman.

5)Menjalankan syariat Allah s.w.t. di bumi ini.Matlamat dan tujuan seterusnya manusia dijadikan oleh Allah s.w.t. ialah untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini. Ini merupaka matlamat yang sangat besar dan masyhur. Ia merupakan intisari kepada segala matlamat yang lain.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang perkara ini. Antaranya ialah firman Allah s.w.t., maksudnya:


''Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).'' (Al-Jathiah: 18)

Dan firman Allah s.w.t., maksudnya:


''Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu) ,maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adlah orang-orang yang fasik.'' (Al-Ma'idah: 49)


Matlamat Yang Khusus bagi Tarbiyyah Islamiyyah


Adapun yang dikehendaki dengan matlamat khusus bagi tarbiyah Islamiyah ialah matlamat dari aspek haraki. Matlamat tarbiyah dari aspek ini bolehlah dibahagikan kepada tiga sudut:

1) Sudut keahlian dan keanggotaan
2) Sudut jamaah
3) Sudut kemasyarakatan dan sosial

Matlamat Tarbiyah Dari Sudut Keahlian Dan Keanggotaan


Matlamat tarbiyah Islamiyah dari sudut keanggotaan dan keahlian adalah untuk melahirkan:

1)Para anggota yang memahami atau bersedia untuk memahami Islam dan perjuangannya sebagaimana yang digariskan di bawah:

a)Ia hendaklah memahami bahawa Islam itu ialah agama yang lengkap, merangkumi seluruh bidang kehidupan manusia samada aqidah dan syariah ataupun agama dan negera. Oleh kerana itu, ia mestilah bersedia untuk membetulkan aqidahnya, ibadahnya dan lain-lain selari dengan kehendak al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qias.

b)Ia mestilah memahami bahawa al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qias itu merupakan rujukan bagi setiap muslim. Pendapat sesiapa juapun yang berlawanan dengan sumber-sumber tersebut tidak boleh dihormati dan dipatuhi malah tidak perlu dipertimbangkan langsung.

c)Manakala pendapat para pemimpin yang tidak berlawanan dengan sumber-sumber tersebut hendaklah dihormati.

d)Perselisihan pendapat dalam masalah furu' adalah perkara kecil dan tidak perlu dielakkan. Oleh itu setiap muslim yang belum mencapai martabat ijtihad hendaklah menerima dan memakai mana-mana pendapat alim ulama’ yang muktabar dan janganlah menjadikannya sebagai punca perpecahan di kalangan anggota.

e)Setiap anggota mestilah faham bahawa dia tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana dia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah tersebut dan selama mana dia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar dari Islam atau selama mana dia tidak mengingkari sesuatu yang pasti (dharuri) atau secara mudah dan senang di dalam Islam seperti ia mengingkari haramnya riba atau haramnya arak atau seperti dia mengingkari wajibnya menjalankan syariat Islam atau selama dia tidak melakukan perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan kecuali kufur seperti dia menyembah berhala atau menghina kitab suci al-Quran.

2)Setiap anggota hendaklah jujur dan ikhlas dalam perjuangan dan semata-mata kerana Islam. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Katakanlah: ''Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.'' (Al-An'am: 162)

Dalam hal ini Nabi s.a.w. pernah bersabda. Maksudnya:Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: ''Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya maka Hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.'' (Riwayat Abu Daud)

3)Setiap anggota hendaklah bekerja dengan gigih untuk menjayakan matlamat perjuangannya. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.'' (Al-Taubah: 105)

Oleh sebab itu, setiap anggota mestilah menunaikan tanggungjawab masing-masing. Peringkat pertama hendaklah dia membetulkan dirinya supaya menjadi insan yang soleh, badan yang sihat lagi kuat, cara berfikiran baik, pekerti mulia, aqidahnya betul, ibadahnya sah, pandai menjaga masa, bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.
Manakala peringkat kedua ialah membentuk rumahtangga dan keluarga secara Islam. Bagi yang belum berkeluarga hendaklah memilih pasangan yang soleh seterusnya mendidik anak secara Islam.
Peringkat ketiga ialah memperbaiki masyarakat supaya menjadi sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya sebuah ajaran dan peraturan yang dipandu dan dipimpin oleh sebuah kerajaan Islam. Dan seterusnya berusaha mengembalikan kedudukan umat Islam sebagai pemimpin dunia agar kembali teratur. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:''Dan Allah jua yang berkuasa terhadap urusannya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.'' (Yusuf: 21)

4)Setiap anggota hendaklah mengetahui bahawa mereka dikehendaki berjihad. Dia mestilah mengetahui bahawa berjihad adalah suatu fardhu yang diwajibkan secara berterusan sampai hari kiamat. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:''Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.'' (Al-Hajj: 78)
Ketahuilah bahawa serendah-rendah martabat jihad itu ialah ingkar dengan hati, setinggi-tingginya ialah berperang pada jalan Allah dan ditengahnya ialah ingkar dengan lisan dan dengan kata-kata.

5)Setiap anggota hendaklah memahami bahawa dia mestilah bersedia untuk berkorban jiwa dan harta demi untuk agama Allah s.w.t. yang tercinta ini. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan ( balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.'' (Al-Taubah: 111)
6)Setiap anggota hendaklah taat dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dan melaksanakannya samada sewaktu senang atau susah, samada dia bersetuju atau sebaliknya. Ketahuilah bahawa perjuangan kita melalui tiga peringkat iaitu ta'rif, takwim dan tanfiz (pengenalan, pembentukan dan pelaksanaan). Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.''(Al-Syu'ara: 179)

7)Setiap anggota hendaklah tetap pendirian. Dia mestilah terus berjuang walaupun memakan masa yang panjang. Allah s. w.t. berfirman, maksudnya:


''Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid ), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun .'' (al-Ahzab: 23)

8)Setiap anggota hendaklah membersihkan fahaman pemikiran dari segala unsur yang tidak Islam. Ingatlah tidak ada yang lebih baik selain dari Islam yang diperjuangkan itu. Islam itu ciptaan Allah tiada yang setanding dengannya. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: ''Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? ( Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.'' (Al-Baqarah: 132)

9)Setiap anggota jamaah mestilah merasakan bahawa anggota-anggota yang lain itu adalah saudaranya, saudara seaqidah yang hubungannya lebih kuat dari saudara seketurunannya. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.'' (Al-Hujurat: 10)

Dalam surah yang lain Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'' (Al-Taubah: 71)

10)Setiap anggota hendaklah memberi dan menaruh kepercayaan yang tidak berbelah bagi antara satu sama lain terutamanya terhadap pemimpin. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:


''Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.''(Al-Nisa': 65)

Matlamat Tarbiyyah Dari Sudut Jamaah


Tujuan tarbiyah dari sudut jamaah antara lain bolehlah disimpulkan kepada perkara-perkara berikut:

1)Membekalkan jamaah dengan faktor kemanusiaan yang mempunyai kelayakan di bidang-bidang seperti berikut:

a)Bidang dakwah dan penerangan
b)Bidang amal dan harakah
c)Bidang pengurusan dan pentadbiran
d)Bidang kerja politik
e)Bidang social dan kemasyarakatan
f) Bidang kerja ekonomi
g)Bidang akademik
h)Bidang pendidikan dan pembinaan
i) Bidang sukan

2)Membekalkan jamaah dengan tenaga kepimpinan yang baik, yang sudah dilatih dengan matang agar tenaga-tenaga itu dapat ditempatkan pada tempat-tempat yang diperlukan antara lain ialah:

a)Kepimpinan di bidang kerja fardi dan jama'ie
b)Kepimpinan di bidang kerja sosial
c)Kepimpinan di bidang kerja politik, ekonomi, pengurusan, pentadbiran pendidikan dan lain-lain
3)Membekalkan jamaah dengan faktor-faktor kemanusiaan yang mampu menangani urusan yang berkaitan dengan jamaah -jamaah yang bersimpati dengan harakah atau jamaah-jamaah yang bermusuh dengannya.

4)Membekalkan jamaah dengan faktor-faktor kemanusiaan yang mampu memanjangkan fitrah jamaah kepada generasi- generasi yang akan datang.

Matlamat Tarbiyah Islamiyah Dari Sudut Sosial Dan Kemasyarakatan


1)Pengagihan dan penempatan mereka yang telah terlatih ke dalam sector kemasyarakatan bertujuan untuk memenuhi keperluan-keperluan yang tertentu seperti:

a)Sekolah-sekolah, institusi-institusi dan universiti-universiti
b)Kilang-kilang, tempat perniagaan dan ladang-ladang
c)Perbadanan dan agensi-agensi kerajaan

Agar mereka menjadi contoh tauladan yang baik dalam beberapa aspek yang berkaitan dengan tugas dan bidang kerja masing-masing seperti kejujuran dan kecekapan.

2)Mengenalpasti perkara-perkara negatif dan sebab-sebab kegagalan serta kerugian yang terdapat di dalam sektor kemasyarakatan itu agar jamaah dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan.

3)Melibatkan diri secara posotif di dalam semua kegiatan yang berjalan di dalam masyarakat.

4)Memberi penekanan terhadap ketekunan bekerja dalam mana-mana jurusan yang dipertanggungjawabkan.

5)Memberi penekanan dan pemerhatian yang khusus kepada masjid serta surau supaya dapat dimakmurkan dengan sebaik mungkin.

6)Menceburi dan menguasai kelab-kelab sukan, pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan lain-lain dengan tujuan untuk mengambil manfaat daripada apa yang baik dan memandu kepada kebiakan mana-mana perkara yang perlu diperbetulkan.


"Tarbiyyah Islamiyyah Tunjang Kekuatan Ummah"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...