03 May 2008

Jom Heboh! dibenarkan oleh Jabatan Mufti...????

Festival Jom Heboh, Pemuda PAS Perlis sokong kenyataan Mufti


Oleh : Bashir Ishak
Saturday, 03 May 2008
KANGAR, 3 Mei (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) menyambut baik kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkaitan dengan Festival Jom Heboh anjuran sebuah stesen Televisyen swasta yang bakal berlangsung di negeri ini selama dua hari mulai hari ini.

Ketuanya, Ustaz Ya'akub Abu Seman mengalu-alukan sikap Dr Mohd Asri yang ternyata menyerlahkan tugas sebenarnya sebagai seorang mufti.

"Pemuda PAS Perlis seiring dengan pandangan Mufti Perlis berkaitan sebarang program yang tidak memberikan manfaat terhadap perkembangan minda golongan remaja khususnya dan rakyat negeri ini amnya," jelasnya.

Menyentuh tentang larangan terhadap penyanyi Faizal Tahir mengadakan persembahannya pada konsert Jom Heboh tersebut, Ustaz Ya'akub turut memberikan pandangan yang sama.

Bagaimanapun katanya, mana-mana artis boleh tampil mengadakan persembahan mereka di negeri ini sekiranya mereka boleh menampilkan imej yang memenuhi peraturan yang ditetapkan. "Tak salah jika dia nak datang menyanyi di sini.

"Apapun beliau kenalah mengubah imej dan gaya penampilan serta mengadakan persembahan yang mengikut lunas-lunas agama dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis, secara dasarnya, Program Jom Heboh tidak diharamkan, namun Jabatan Mufti berasa dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama.

Antara yang disebutkan ialah, Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan tertentu sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis.

i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis

ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan

iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkanvi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.

Dua tahun lalu, Harakahdaily sendiri pernah menyiarkan berita tentang konsert Jom Heboh yang diadakan mengganggu jemaah yang sedang bersolat Isyak di sebuah masjid berhampiran.
Kemaskini terakhir ( Saturday, 03 May 2008 )

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...